Wednesday, April 23, 2008

minggu batuk dan demam...




Salam. Sedih sangat abah minggu lepas... kita satu keluarga tak sihat. batuk dan selsema. Paling teruk... husna. Setiap saat batuk tak berhenti-henti. Sebak hati abah melihatnya.. Setiap malam jugalah abah menemankan husna tidur di ruang tamu, rumah kita di larkin. Berjaga malam, sapukan vicks, berikan ubat dan apa sahaja yang mampu melegakan batuk husna. Abah teringatkan kisah abah masa kecil dahulu. Keadaan yang hampir sama berlaku. Ada abah ceritakan sebelum ni. Abah sangat berharap moga ianya tidak berulang pada amir ataupun husna.

Kita dah ke doktor muru sebanyak 4 kali. dan setiap kali itulah bertukar ubat batuk. dari n-cough ke promathezine. termasuklah antibiotik. kemudian melarat pula pada amir. kesian amir. selalu sahaja muntah-muntah. Husna bercuti seminggu. tak bersekolah. Tadika Iman kehilangan seorang pelajarnya buat sementara waktu. Semalam barulah husna ke sekolah. Syukur ke hadrat Allah... semoga kita sekeluarga selalu dalam perlindunganNya. Amin....
(gambar diambil ketika pulang bercuti di kunci ayor dis 2007.. menjenguk embah mancing ikan.. hehhehh..)

Wednesday, March 5, 2008

Daftar sekolah...SIGS!


Lama betul abah tak menggarap nukilan di ruangan anakanda berdua. Maklumlah, terlalu banyak tugasan yang perlu abah bereskan setiap hari. Masa yang ada abah tumpukan pada kerja. Minggu lepas, abah terlibat dalam menyediakan makmal komputer untuk peperiksaan PTK; kederasan menaip yang baru selesai semalam. Ia berlangsung selama dua hari dengan calon seramai 27 pada hari pertama dan 12 orang hari kedua. Minggu sebelumnya, kejohanan olahraga sekolah berlangsung. Abah menjadi ketua rumah sukan; mega. Tahun ini tahun cemerlang buat mega. Nanti kalau ada masa, abah story, ok.

Petang tadi abah call umi. Rupa-rupanya umi ke seberang jalan; ke SK (P) Sultan Ibrahim mendaftarkan nama anakanda untuk sesi persekolahan dua tahun dari sekarang. Wahh... anakanda bersekolah di SIGS nanti rupanya. Sekolah lama yang sudah ada masa abah kecil dahulu. Waktu itu abah, pak ngah, pak lang bersekolah di STAR (1), sekolah yang bersempadan dengan SIGS. Sekolah lelaki. SIGS pula sekolah perempuan. Auntie adik pun bersekolah di SIGS dahulu. Ketika itu, abah sekeluarga tinggal di kuarters kerajaan jln abdul rahman andak, jb. Kebetulan, semasa auntie adik bersekolah di situ, abah baru sahaja habis spm. Jadi, tugas harian abah ialah menjemput adik2 dari sekolah. Pak Ngah dan Pak Lang pula di English College(EC).

Peristiwa yang susah abah nak lupakan semasa menjemput auntie adik di SIGS ialah ketika abah memandu kereta galan sigma hijau atuk. Semasa mengundurkan kereta untuk parking di asrama ke-2 SIGS, abah terlanggar tembok pagar asrama tu. Lekuk kereta atuk...

Itu cerita lama husna. Anakanda akan meneroka kisah baru dalam kehidupan anakanda. Sekarang ini pun anakanda sedang melayarinya dengan baik sekali. Report yang abah baca mengenai pembelajaran anakanda di Tadika Iman menggembirakan abah, umi, atuk dan we. Teruskan ya anakanda.... Itulah masa depan anakanda.


Friday, February 1, 2008

Amir.... meniti awal 2008



Amir.... keletah anakanda memang amat menghiburkan. Ne...!! ne....!! kata anakanda kalau dapat menyusun sesuatu mengikut 'perancangan' anakanda. "Amir susun tinggi... sampai bombongg!!!" kata anakanda. Tapi jangan jatuh! Kalau jatuh, amir mulalah menangis dan menjerit. Sabar anakanda.... Membina sesuatu bukannya mudah...
Habislah bersepah rumah kita hasil 'perancangan' anakanda. Tapi abah dan umi tak kisah. Buatlah anakanda. Mungkin ada hikmah kerja anakanda tu. Petah anakanda berbicara. Sedap abah dan umi mendengar anakanda memanggil 'kakak' pada kak husna. Manja dan jauh ke dalam bunyinya. Mudahnya 'berurusan' dengan anakanda kerana anakanda tidak banyak kerenah. Pandai bawa diri. Kalau menyusu, anakanda akan mengambil bantal sendiri. Baring dan mula menyusu.
Cuma yang susahnya bila nak 'menerangkan' sesuatu pada anakanda. Kalau makanan dah habis dimakan, anakanda masih meminta. Kalau coklat dah habis, anakanda masih mahukan coklat tu. Puaslah umi memberi penerangan...... sabar ye umi..

Kasihan husna...


Kasihan husna... dah hampir tiga hari anakanda batuk. Tempohari baru sahaja elok dari demam. Kali ini batuk pula. Semalam, 31 Jan 08, buat pertama kalinya anakanda tidak ke sekolah. atuk dan we ada juga bertanya, nak dihantar ke tidak husna ke sekolah? Memandangkan husna kurang sihat, abah pun cadangkan supaya husna berehat sahaja di rumah.

Masa abah kecil dahulu, buat pengetahuan anakanda, abah lah yang selalu sakit. sakit yang kronik Kata mak, masa tu pernah abah batuk berpanjangan. Tiga bulan lamanya. Umur abah masa tu baru setahun lebih. Lepas tiga bulan, kata mak, abah terus tidak sihat. Selalu sahaja 'on''off'. Elok sekejap dan bakinya sakit selalu.

Sehinggalah abah berpindah ke JB dari KL kerana mengikut atuk bertukar tempat kerja. Sebelum tu, atuk bertugas di Jabatan Percetakan Nasional, jln chan sow lin. Ketika abah berpindah ke JB, abah masuk darjah 3 di SK. Temenggong Abdul Rahman (1). Masa ni, abah masih lagi menanggung kesakitan akibat batuk masa kecil dulu. Sehinggalah atuk dan we membawa abah ke Klinik John di Jln Trus berdepan kedai Lee Ban Thye.

Mengikut kata we, selepas makan ubat klinik inilah, batuk abah semakin sembuh dan akhirnya hilang sama sekali. Itu belum lagi dikira dengan sawan tangis yang abah dapat pada awal kelahiran abah sehingga 9 bulan lamanya. Kasihan we.... Tidurnya tidak pernah teratur ketika itu. Celik sahaja mata abah dari tidur, abah akan terus menangis dan menangis. Puas berubat. KL ke kampung Senaling. Senaling ke KL. 9 bulan husna.... Lama we dan atuk menanggung 'sengsara'. Macam2 perubatan dah dicuba. Berpuluh bomoh dan doktor. Semuanya tidak berjaya. Sehinggalah suatu hari, atuk dan we membawa abah berkunjung ke rumah acik aris....
'Pakcik bomba' .

Itulah orangnya menurut mak lagi. Dia mahu abah dimandikan sebelum ayam masuk reban, mandikan abah di pintu masuk rumah acik aris jam 3 petang, alhamdulillah.... baru lah kurang sakit 'tangis' abah dan hilang terus...
Itulah anakanda... kesakitan hidup yang abah lalui. Abah berharap anakanda akan bersabar dan kuatkan semangat. Semangat dan kekuatan itu anakanda, datangnya dari dalam diri kita..... bukannya dari orang lain. Semoga anakanda husna akan terus bersemangat untuk belajar...

Tuesday, January 15, 2008

Bermulanya persekolahan tadika Husna...

Salam. Lama sudah abah tak menulis di blog ini duhai anakku. Maafkan abah kerana terlalu sibuk dengan urusan harian walaupun sebenarnya bulan lepas; Disember 2007 merupakan cuti persekolahan. Kebetulan pula, kita semua pulang ke kampung 'kunci ayor' di Perak selama 10 hari. Berehat panjang kita di sana.
Bulan ini, Januari 2008; Afifah Husna anakanda abah memulakan sesi persekolahan tadikanya pada 3 Januari yang lalu. Gembira sungguh ayahanda dan bonda. Tapi bagi anakanda Husna, bila ditanya pada malam hari 2 Jan seolah-olah menunjukkan rasa kurang gembira. Ayahanda berdua faham dan tidak berniat memaksa anakanda menyukainya. Abah yakin Husna mampu atasi perasaan itu lambat laun.
Pada pagi 3 Jan, anakanda Husna dihantar oleh Wea dan bonda bersama adik kesayangan Husna, Amir Zulhilmi ke tadika. Bila umi menelefon abah, dengan sengaja abah tidak memberitahu yang abah akan turut serta ke tadika walaupun abah bertugas hari itu di sesi pagi. Husna kurang ceria pada hari itu. Tapi tak mengapa. Abah berasa bangga kerana anakanda tidak seperti kanak-kanak lain yang menangis risau ditinggalkan keluarga. Syukurlah. Selamat anakanda belajar pada hari itu. Abah menjemput anakanda pada hari itu jam 2.00 ptg. Sepatutnya kelas biasa akan habis pada jam 2.30 ptg. Tetapi kerana orientasi, kelas ditamatkan 1/2 jam lebih awal. Letih anakanda nampaknya. Kurang ceria. Tapi bersabarlah husna. Itu semuanya dugaan. Sekiranya anakanda tahu rintangan yang umi lalui semasa zaman kanak-kanaknya dahulu sudah pasti anakanda akan lebih bersyukur. Cuba tanyakan pada umi nanti bila bersembang bersama, ok.
Baiklah anakanda. Nanti abah tuliskan lagi pengalaman anakanda di ruangan blog ini. Teruskan belajar dengan motivasi sendiri. Semoga anakanda diberkati Allah sepanjang hidup anakanda. Amin.

Friday, December 7, 2007

Memuliakan Ibu bukan hanya setahun sekali...




“SAYA hendak balik kampung hujung minggu ini,” Hamisah membuka mulut dengan nada riang.

“Mengapa tiba-tiba saja hendak balik kampung, apahal ni?” Adilah menjawab dengan penuh kehairanan.
“Hai, tak tahu hujung minggu ini, 12 Mei, adalah Hari Ibu?,” kata Hamisah.

“Bila kali terakhir awak balik kampung tengok emak awak?,” tanya Adilah.

“Enam bulan lalu, masa Aidilfitri. Apakah awak tidak mahu balik kampung untuk meraikan Hari Ibu bersama emak?” tanya Hamisah.

“Saya sentiasa memuliakan dan mengingati emak saya sebanyak lima kali sehari, sehabis solat lima waktu, saya mendoakan kesejahteraannya, saya pulang ke kampung sebulan sekali untuk memberikannya wang bulanan sebanyak RM500,” jawab Adilah, tegas.

“Banyaknya awak bagi duit kat mak awak, habis awak hendak makan apa?”,tanya Hamisah, hairan.

“Jasa dan pengorbanan emak mengandung dan melahirkan saya tidak ternilai. Emak berjuang dalam keadaan antara hidup dan mati masa melahirkan saya. Kemudian, emak membesarkan saya dengan penuh kasih sayang tanpa syarat, dari saya sebesar ibu jari. Emak didik saya menjadi
orang beriman, menyekolahkan saya hingga jadi warga yang tahu erti tanggungjawab. Tidak ternilai harganya dan tidak terhitung budinya!

Semoga Allah merahmati emak saya,” kata Adilah.

“Tetapi mengapa susah-susah sangat, kena balik kampung, kan duit tu awak boleh masukkan saja dalam akaun dia, cukuplah,” kata Hamisah.

Jawab Adilah: “Sebenarnya, saya sangat rindukan renungan redup mata emak. Saya rasa tenang berada bersamanya. Saya pun dapat rasa, emak juga amat rindu pada anak-anaknya. Saya mahu balik memeluknya, mahukan restunya dalam apa saja yang saya kerjakan.

“Lagipun Rasulullah pernah mengatakan, memandang wajah ibu bapa dengan penuh kasih sayang adalah satu ibadat. Awak pun tahu, bukan senang hendak buat pahala zaman sekarang ni. Allah bagi pahala percuma, hanya dengan kita melihat wajah ibu kita, Subhanallah.

“Lagipun, emak saya dah tua, kita tak tahu, bila-bila masa saja Allah akan menjemputnya. Saya rasa masa saya untuk melihatnya semakin sedikit. Kita masih muda, duit boleh dicari, tetapi umur ibu tidak akan menjadi lebih muda.

Jawapan itu membuatkan Hamisah sebak. Dalam suara tersekat-sekat, dia berkata, “Terima kasih, Adilah, kata-kata awak tu benar-benar mengusik hati saya. Saya rasa tiba-tiba saja hati menjadi sayu. Saya akan tatap wajah tua emak saya. Saya hendak peluk dan cium emak saya sepuas-puasnya. Saya akan layan dia seperti seorang permaisuri apabila saya balik kampung nanti.

“Saya berjanji saya akan sentiasa mendoakannya paling minimum lima kali sehari semalam ketika dia hidup dan juga apabila meninggal dunia kelak.Saya tidak mahu kesusahan hidup menjadi alasan untuk tidak menunjukkan prihatin dan kasih sayang kepada emak saya. Kesibukan bekerja dan urusan
peribadi bukan alasan untuk saya tidak menjenguk dan bertanya khabar emak yang kesunyian di kampung.”

Perbualan dua sahabat itu mengingatkan kita kepada sebuah hadis Rasulullah saw. Daripada Mu’awiyah bin Jahimah As-Salami, Jahimah datang kepada Rasulullah, lalu berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin pergi berperang dan aku sekarang datang minta nasihat kepada tuan.”

Baginda bertanya: “Apakah kamu masih mempunyai ibu?”

Dia menjawab: “Masih.”

Baginda bersabda: “Uruslah dia, kerana syurga di bawah kedua kakinya.”
(Hadis riwayat Nasa’i, Ahmad dan Ibnu Majah)

Rasulullah memahami keinginan Jahimah untuk pergi berperang dan pada masa sama mengetahui ibu Jahimah sakit dan perlukan penjagaan. Namun, Baginda memerintahkannya mengurus ibunya kerana dengan mengurus ibunya,dia akan mendapatkan balasan syurga. Subhanallah, ada saat tertentu di
mana menjaga ibu sakit lebih utama daripada berjihad di jalan Allah.

Menerusi hadis itu, Baginda dengan tegas menerangkan keistimewaan yang Allah berikan kepada ibu, pemegang kunci syurga anak-anaknya. Jika anak mereka berbakti kepada ibunya sesuai dengan tuntutan Islam, Allah akan memudahkan mereka masuk ke syurga. Sebaliknya, jika anak itu derhaka
kepada ibunya, pintu syurga menjadi sukar untuk mereka lalui.

Kehormatan tinggi seperti ini hanya menjadi hak seorang ibu dan tidak menjadi hak seorang bapa. Ini membuktikan bahawa Islam benar-benar mengangkat martabat dan darjat kaum wanita, memperlakukannya begitu terhormat sehingga dijadikan penentu bagi anak-anaknya untuk memasuki
syurga stau sebaliknya.

Firman Allah, yang bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya mengandungkannya dengan susah payah, melahirkan dengan susah payah pula, mengandungkannya, menyusukan sehingga 30 bulan, sehingga apabila dia dewasa dan berumur 40 tahun, dia berkata: Wahai Tuhanku, tunjuklah aku supaya aku mensyukuri nikmatmu yang dengannya Engkau merahmati aku dan ibu bapa, dan supaya aku dapat membuat amal salih yang Engkau redai, berilah kebaikan (perbaikilah aku) kepadaku, dengan memberikan kebaikan kepada anak cucuku.

Sesungguhnya, aku bertaubat kepada Engkau, dan aku termasuk orang yang berserah diri.
Mereka itulah orang yang kami terima daripada mereka amal yang baik, yang mereka kerjakan, dan kami ampuni kesalahan mereka bersama penghuni syurga sebagai janji benar yang dijanjikan kepada mereka,” (Surah al-Ahqaf, ayat 15-16).

Sesungguhnya, memuliakan ibu bukan hanya setakat merayakan sebuah hari yang dinamakan ‘Hari Ibu’. Menyanjung ibu bukan sekadar memperingatinya setahun sekali dengan pelbagai upacara, peraduan, makan-makan, atau memberinya hadiah serta pengisytiharan luaran bersifat material.

Memang benar, sambutan Hari Ibu ada agenda baik di dalamnya, iaitu menjana perhubungan erat antara enak dan ibu bapa. Namun begitu, didalam Islam, terdapat pendidikan dan pengajaran mengenai amalan dan konsep berbakti kepada ibu bapa yang mencerminkan ketulenan dan keikhlasan, berbanding sambutan Hari Ibu yang seolah-olah menampakkan kepura-puraan dan bersifat materialistik.

Berbakti kepada ibu bapa tidak harus dijadikan sebagai ‘budaya setahun sekali’, sebaliknya, ia mesti dijadikan budaya sepanjang tahun supaya amanah memulia dan memperingati ibu tercinta, dilakukan setiap masa. Malah, banyak ayat dalam al-Quran dan hadis, memberi galakan dan mengajar umat cara berbakti kepada ibu bapa, sama ada mereka masih hidup atau sudah tiada.

Kita seharusnya menjadikan Hari Ibu sebagai ‘peringatan’, apakah semua ibu (wanita) telah diberi ruang dan waktu sesuai dengan fitrah mereka diciptakan. Begitu banyak yang dikerjakan oleh tangan seorang ibu/wanita yang boleh disimpulkan kepada dua. Pertama, betapa berat tanggungjawab ibu/wanita, dan kedua, begitu besar cintanya kepada anak, tanpa membezakan sama ada anaknya perempuan atau lelaki.

Semoga Hari Ibu tahun ini menjadi peringatan kepada kita, juga bagi ibu/wanita, untuk menggunakan ‘tangannya’ dengan sebaik-baiknya, supaya insan kecil yang dididik dan didodoinya, membesar menjadi manusia yang hebat membacakan ayat suci dan tidak memperlecehkan kedudukan
wanita/ibu.

Semoga dari ‘tangan’ ibu/wanita ini, akan lahir manusia berbudi luhur yang mengambil berat nasib dan penderitaan insan lain, supaya negara tidak dipenuhi manusia yang hanya tahu memikirkan diri sendiri dan merosakkan alam serta masyarakat sekelilingnya.

Nak sihat ala Rasulullah?

Jika anda mahu menjadi sihat mengikut cara Rasulullah, berikut adalah caranya:

Selalu bangun sebelum subuh

Rasulullah selalu mengajak umatnya untuk bangun sebelum subuh, melaksanakan solat sunat, dan juga solat fardhu subuh secara berjemaah. Hal ini memberikan hikmah yang mendalam, antara lain:

a)Berlimpah pahala daripada Allah s.w.t

b)Kesegaran udara subuh yang bagus untuk kesihatan/terapi penyakit TB

c)Menguatkan fikiran dan menyihatkan perasaan


Gemar berjalan kaki

Rasulullah selalu berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad, mengunjungi rumah sahabat dan sebagainya. Dengan berjalan kaki, keringat mengalir, pori-pori terbuka dan peredaran darah akan berjalan lancar. Ini penting untuk mencegah penyakit jantung.

Tak pernah iri hati

Untuk menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa dan mental, maka hendaklah menjauhi rasa iri hati kerana ianya merupakan tindakan yang sangat tepat.

Jadi, marilah kita sama-sama amalkan ya