Wednesday, March 5, 2008

Daftar sekolah...SIGS!


Lama betul abah tak menggarap nukilan di ruangan anakanda berdua. Maklumlah, terlalu banyak tugasan yang perlu abah bereskan setiap hari. Masa yang ada abah tumpukan pada kerja. Minggu lepas, abah terlibat dalam menyediakan makmal komputer untuk peperiksaan PTK; kederasan menaip yang baru selesai semalam. Ia berlangsung selama dua hari dengan calon seramai 27 pada hari pertama dan 12 orang hari kedua. Minggu sebelumnya, kejohanan olahraga sekolah berlangsung. Abah menjadi ketua rumah sukan; mega. Tahun ini tahun cemerlang buat mega. Nanti kalau ada masa, abah story, ok.

Petang tadi abah call umi. Rupa-rupanya umi ke seberang jalan; ke SK (P) Sultan Ibrahim mendaftarkan nama anakanda untuk sesi persekolahan dua tahun dari sekarang. Wahh... anakanda bersekolah di SIGS nanti rupanya. Sekolah lama yang sudah ada masa abah kecil dahulu. Waktu itu abah, pak ngah, pak lang bersekolah di STAR (1), sekolah yang bersempadan dengan SIGS. Sekolah lelaki. SIGS pula sekolah perempuan. Auntie adik pun bersekolah di SIGS dahulu. Ketika itu, abah sekeluarga tinggal di kuarters kerajaan jln abdul rahman andak, jb. Kebetulan, semasa auntie adik bersekolah di situ, abah baru sahaja habis spm. Jadi, tugas harian abah ialah menjemput adik2 dari sekolah. Pak Ngah dan Pak Lang pula di English College(EC).

Peristiwa yang susah abah nak lupakan semasa menjemput auntie adik di SIGS ialah ketika abah memandu kereta galan sigma hijau atuk. Semasa mengundurkan kereta untuk parking di asrama ke-2 SIGS, abah terlanggar tembok pagar asrama tu. Lekuk kereta atuk...

Itu cerita lama husna. Anakanda akan meneroka kisah baru dalam kehidupan anakanda. Sekarang ini pun anakanda sedang melayarinya dengan baik sekali. Report yang abah baca mengenai pembelajaran anakanda di Tadika Iman menggembirakan abah, umi, atuk dan we. Teruskan ya anakanda.... Itulah masa depan anakanda.