Thursday, June 12, 2008

Sumpah Tak Buat Lagi


Artikel berikut abah dapat semasa melayari internet di tranungkite. Seorang penulis bernama chekamala menulis artikel ini dan abah rasakan artikel ini boleh menjadi peringatan buat abah dan ibu bapa yang lain... insya-Allah..

Kisahnya..
"Sepasang suami isteri - seperti pasangan lain di kota-kota besar meninggalkan anak-anak diasuh pembantu rumah semasa keluar bekerja.

Anak tunggal pasangan ini, perempuan berusia tiga setengah tahun. Bersendirian di rumah, dia kerap dibiarkan pembantunya yang sibuk bekerja bermain di luar, tetapi pintu pagar tetap dikunci. Bermainlah dia sama ada berbuai-buai di atas buaian yang dibeli bapanya, ataupun memetik bunga raya, bunga kertas dan lain-lain di laman rumahnya.

Suatu hari dia terjumpa sebatang paku karat. Dia pun melakar simen tempat letak kereta ayahnya tetapi kerana diperbuat daripada marmar,lakaran tidak kelihatan. Dicubanya pada kereta baru ayahnya. Ya....kerana kereta itu bewarna gelap, lakarannya jelas. Apa lagi kanak-kanak ini pun melakarlah melahirkan kreativitinya. Hari itu bapa dan ibunya bermotosikal ke tempat kerja kerana minyak baru dinaikkan harga hari ini, 6hb Jun 2008. Semalam mereka tak sempat isi minyak kerana pulang lewat. Sampai je stesen minyak, atendan pam beritahu minyak dah habis...Nasiblah sebab mereka juga yang undi BN!!!! Hidup Pak Lah....!!

Penuh sebelah kanan dia beredar ke sebelah kiri kereta. Dilakarnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan sebagainya mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tak disedari si pembantu rumah.

Pulang petang itu, terkejut besar pasangan itu melihat kereta yang baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran yang belum habis berbayar, berbatik-batik. Si bapa yang belum pun masuk ke rumah terus menjerit, 'Siapa punya kerja ni?'

Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia juga beristighfar. .Mukanya merah padam ketakutan tambah-tambah melihat wajah bengis tuannya.

Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dia terus mengatakan 'Tak tahu... !'

'Saya tak tahu Tuan..! '

'Duduk di rumah sepanjang hari tak tahu, apa kau buat?' herdik si isteri lagi. bila anak yang mendengar suara ayahnya, tiba-tiba berlari keluar dari bilik. Dengan penuh manja dia berkata 'Ita buat ayahhh.. cantik kan!' katanya menerkam ayahnya ingin bermanja seperti selalu.
Dengan kasih murni seorang anak yang belum memahami apa-apa, menarik lembut poket seluar abahnya, manja.

Si ayah yang hilang sabar merentap ranting kecil pokok bunga kertas didepannya, terus dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tak mengerti apa-apa terlolong-lolong kesakitan sekaligus ketakutan.

Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si ibu cuma mendiamkan diri, mungkin setuju dan berasa puas dengan hukuman yang dikenakan.

Pembantu rumah melopong, tak tahu nak buat apa-apa, sungguh kesian dan teramat sedih, namun dia sangat takut. Si bapa cukup rakus memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya. Selepas merasa puas, si bapa masuk ke rumah dituruti si ibu. Pembantu rumah segera memeluk dengan penuh sayang dan duka, cepat-cepat menggendong anak kecil itu, membawanya ke bilik. Dilihatnya tapak tangan dan belakang tangan si anak kecil calar balar. Menangis teresak-esak keduanya dalam bilik.

Pembantu rumah memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air sambil dia menangis. Anak kecil itu pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik calar-balar itu terkena air. Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah. Keesokkan harinya, kedua-dua belah tangan si anak bengkak. Pembantu rumah mengadu. 'Sapukan minyak gamat tu!' balas tuannya, bapa si anak.

Pulang dari kerja, dia tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan masa di bilik pembantu. Si bapa konon mahu mengajar anaknya. Tiga hari berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya sementara si ibu juga begitu tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah. 'Ita demam..' jawap pembantunya ringkas. 'Bagi minum panadol tu,' balas si ibu.

Sebelum si ibu masuk bilik tidur dia menjenguk bilik pembantunya. Apabila dilihat anaknya ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup semula pintu.

Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas. 'Petang nanti kita bawa ke klinik. Pukul 5.00 siap' kata majikannya itu. Sampai waktunya si anak yang longlai dibawa ke klinik. Doktor mengarahnya ia dirujuk ke hospital kerana keadaannya serius.

Setelah seminggu di wad pediatrik doktor memanggil bapa dan ibu kanak-kanak itu. 'Tiada pilihan..' katanya yang mencadangkan agar kedua-dua tangan kanak-kanak itu dipotong kerana jangkitan yang sudah menjadi gangren sudah terlalu teruk. 'Ia sudah bernanah, demi nyawanya tangan perlu dipotong dari siku ke bawah' kata doktor. Si bapa dan ibu bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata itu.

Terasa dirinya tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan. Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si bapa terketar-ketar menandatangani surat kebenaran pembedahan.

Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakanhabis, si anak menangis kesakitan. Dia juga terpinga-pinga, melihatkedua- dua tangannya berbalut putih. Direnung muka ayah dan ibunya. Kemudian ke wajah pembantu rumah.

Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis. Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah bersuara dalam linangan air mata.

'Abah.. Mama... Ita tak buat lagi. Ita tak mau ayah pukul. Ita tak mau jahat. Ita sayang abah.. sayang mama.' katanya berulang kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa.

'Ita juga sayang Kak Narti..' katanya memandang wajah pembantu rumah, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.

Tidak seorang pun yang melihat suasana itu tidak menangis....

'Abah.. bagilah balik tangan Ita. Buat apa ambil.. Ita janji tak buat lagi! Ita nak makan, macam mana? Nak main macam mana? Ita janji tak conteng kereta lagi,' katanya bertalu-talu. Bagaikan gugur jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya. Meraunglah dia sekuat hati namun takdir yang sudah terjadi, tiada manusia dapat menahannya..

"Didiklah dan pukullah anak anda dengan penuh kasih sayang, bukan untuk lepaskan geram & marah anda...." (,")(",) "

Monday, May 5, 2008

Ibu


Orang kata aku lahir dari perut ibu..
Bila dahaga, yang susukan aku.. ibu
Bila lapar, yang suapkan aku..ibu
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ibu
Kata ibu, perkataan pertama yang aku sebut.. Bu!
Bila bangun tidur, aku cari.. ibu
Bila nangis, orang pertama yang datang ..ibu
Bila nak bermanja... aku dekati ibu
Bila nak bergesel... aku duduk sebelah ibu
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya ibu
Bila nakal, yang memarahi aku... ibu
Bila merajuk... yang memujukku cuma..ibu
Bila melakukan kesalahan... yang paling cepat marah..ibu
Bila takut... yang tenangkan aku.. ibu
Bila nak peluk... yang aku suka peluk..ibu

Aku selalu teringatkan ..Ibu
Bila sedih, aku mesti talipon... Ibu
Bila seronok... orang pertama aku nak beritahu... Ibu
Bila bengang.. aku suka luah pada ..Ibu
Bila takut, aku selalu panggil.. "ibuuuuuuuuuuuuu! "
Bila sakit, orang paling risau adalah ..Ibu
Bila nak exam, orang palin g sibuk juga Ibu
Bila buat hal, yang marah aku dulu..Ibu
Bila ada masalah, yang paling risau.. Ibu
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. Ibu
Yang selalu masak makanan kegemaranku. . Ibu
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku, Ibu
Yang selalu berleter kat aku.. Ibu
Yang selalu puji aku.. Ibu
Yang selalu nasihat aku.. Ibu
Bila nak kahwin..
Orang pertama aku tunjuk dan rujuk... Ibu

Aku ada pasangan hidup sendiri
Bila seronok... aku cari pasanganku
Bila sedih... aku cari Ibu
Bila berjaya... aku ceritakan pada pasanganku
Bila gagal... aku ceritakan pada Ibu
Bila bahagia, aku peluk erat pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat Ibuku
Bila nak bercuti... aku bawa pasanganku
Bila sibuk... aku hantar anak ke rumah Ibu
Bila sambut valentine... Aku hadiahi bunga pada pasanganku
Bila sambut hari ibu... aku cuma dapat ucapkan Selamat Hari Ibu
Selalu... aku ingat pasanganku
Selalu... Ibu ingat kat aku
Bila..bila.. . aku akan talipon pasanganku
Entah bila.. aku nak talipon Ibu
Selalu... aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila.... aku nak belikan hadiah untuk Ibuku

Renungkan:

Dulu Ibu kata: "Kalau kamu sudah habis belajar dan berkerja... bolehkah kamu kirim wang untuk Ibu? Ibu
bukan nak banyak... lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah".

Berderai air mata. Hari ini kalau Ibu mahu lima ratus sebulan pun aku mampu. Aku boleh kirimkan.



Tapi Ibu sudah tiada. ingatlah pengorbanan ibuuuuu....


Abah di Empress Sepang tika ini, anakku. Terima tugas baru. Teringat pada anakanda berdua dan ibu abah. Terima kasih Jemilah binti Husin... ibuku yang amat aku sayangi dan kasihi... aku kan sentiasa bersamamu.

Wednesday, April 23, 2008

minggu batuk dan demam...




Salam. Sedih sangat abah minggu lepas... kita satu keluarga tak sihat. batuk dan selsema. Paling teruk... husna. Setiap saat batuk tak berhenti-henti. Sebak hati abah melihatnya.. Setiap malam jugalah abah menemankan husna tidur di ruang tamu, rumah kita di larkin. Berjaga malam, sapukan vicks, berikan ubat dan apa sahaja yang mampu melegakan batuk husna. Abah teringatkan kisah abah masa kecil dahulu. Keadaan yang hampir sama berlaku. Ada abah ceritakan sebelum ni. Abah sangat berharap moga ianya tidak berulang pada amir ataupun husna.

Kita dah ke doktor muru sebanyak 4 kali. dan setiap kali itulah bertukar ubat batuk. dari n-cough ke promathezine. termasuklah antibiotik. kemudian melarat pula pada amir. kesian amir. selalu sahaja muntah-muntah. Husna bercuti seminggu. tak bersekolah. Tadika Iman kehilangan seorang pelajarnya buat sementara waktu. Semalam barulah husna ke sekolah. Syukur ke hadrat Allah... semoga kita sekeluarga selalu dalam perlindunganNya. Amin....
(gambar diambil ketika pulang bercuti di kunci ayor dis 2007.. menjenguk embah mancing ikan.. hehhehh..)

Wednesday, March 5, 2008

Daftar sekolah...SIGS!


Lama betul abah tak menggarap nukilan di ruangan anakanda berdua. Maklumlah, terlalu banyak tugasan yang perlu abah bereskan setiap hari. Masa yang ada abah tumpukan pada kerja. Minggu lepas, abah terlibat dalam menyediakan makmal komputer untuk peperiksaan PTK; kederasan menaip yang baru selesai semalam. Ia berlangsung selama dua hari dengan calon seramai 27 pada hari pertama dan 12 orang hari kedua. Minggu sebelumnya, kejohanan olahraga sekolah berlangsung. Abah menjadi ketua rumah sukan; mega. Tahun ini tahun cemerlang buat mega. Nanti kalau ada masa, abah story, ok.

Petang tadi abah call umi. Rupa-rupanya umi ke seberang jalan; ke SK (P) Sultan Ibrahim mendaftarkan nama anakanda untuk sesi persekolahan dua tahun dari sekarang. Wahh... anakanda bersekolah di SIGS nanti rupanya. Sekolah lama yang sudah ada masa abah kecil dahulu. Waktu itu abah, pak ngah, pak lang bersekolah di STAR (1), sekolah yang bersempadan dengan SIGS. Sekolah lelaki. SIGS pula sekolah perempuan. Auntie adik pun bersekolah di SIGS dahulu. Ketika itu, abah sekeluarga tinggal di kuarters kerajaan jln abdul rahman andak, jb. Kebetulan, semasa auntie adik bersekolah di situ, abah baru sahaja habis spm. Jadi, tugas harian abah ialah menjemput adik2 dari sekolah. Pak Ngah dan Pak Lang pula di English College(EC).

Peristiwa yang susah abah nak lupakan semasa menjemput auntie adik di SIGS ialah ketika abah memandu kereta galan sigma hijau atuk. Semasa mengundurkan kereta untuk parking di asrama ke-2 SIGS, abah terlanggar tembok pagar asrama tu. Lekuk kereta atuk...

Itu cerita lama husna. Anakanda akan meneroka kisah baru dalam kehidupan anakanda. Sekarang ini pun anakanda sedang melayarinya dengan baik sekali. Report yang abah baca mengenai pembelajaran anakanda di Tadika Iman menggembirakan abah, umi, atuk dan we. Teruskan ya anakanda.... Itulah masa depan anakanda.


Friday, February 1, 2008

Amir.... meniti awal 2008



Amir.... keletah anakanda memang amat menghiburkan. Ne...!! ne....!! kata anakanda kalau dapat menyusun sesuatu mengikut 'perancangan' anakanda. "Amir susun tinggi... sampai bombongg!!!" kata anakanda. Tapi jangan jatuh! Kalau jatuh, amir mulalah menangis dan menjerit. Sabar anakanda.... Membina sesuatu bukannya mudah...
Habislah bersepah rumah kita hasil 'perancangan' anakanda. Tapi abah dan umi tak kisah. Buatlah anakanda. Mungkin ada hikmah kerja anakanda tu. Petah anakanda berbicara. Sedap abah dan umi mendengar anakanda memanggil 'kakak' pada kak husna. Manja dan jauh ke dalam bunyinya. Mudahnya 'berurusan' dengan anakanda kerana anakanda tidak banyak kerenah. Pandai bawa diri. Kalau menyusu, anakanda akan mengambil bantal sendiri. Baring dan mula menyusu.
Cuma yang susahnya bila nak 'menerangkan' sesuatu pada anakanda. Kalau makanan dah habis dimakan, anakanda masih meminta. Kalau coklat dah habis, anakanda masih mahukan coklat tu. Puaslah umi memberi penerangan...... sabar ye umi..

Kasihan husna...


Kasihan husna... dah hampir tiga hari anakanda batuk. Tempohari baru sahaja elok dari demam. Kali ini batuk pula. Semalam, 31 Jan 08, buat pertama kalinya anakanda tidak ke sekolah. atuk dan we ada juga bertanya, nak dihantar ke tidak husna ke sekolah? Memandangkan husna kurang sihat, abah pun cadangkan supaya husna berehat sahaja di rumah.

Masa abah kecil dahulu, buat pengetahuan anakanda, abah lah yang selalu sakit. sakit yang kronik Kata mak, masa tu pernah abah batuk berpanjangan. Tiga bulan lamanya. Umur abah masa tu baru setahun lebih. Lepas tiga bulan, kata mak, abah terus tidak sihat. Selalu sahaja 'on''off'. Elok sekejap dan bakinya sakit selalu.

Sehinggalah abah berpindah ke JB dari KL kerana mengikut atuk bertukar tempat kerja. Sebelum tu, atuk bertugas di Jabatan Percetakan Nasional, jln chan sow lin. Ketika abah berpindah ke JB, abah masuk darjah 3 di SK. Temenggong Abdul Rahman (1). Masa ni, abah masih lagi menanggung kesakitan akibat batuk masa kecil dulu. Sehinggalah atuk dan we membawa abah ke Klinik John di Jln Trus berdepan kedai Lee Ban Thye.

Mengikut kata we, selepas makan ubat klinik inilah, batuk abah semakin sembuh dan akhirnya hilang sama sekali. Itu belum lagi dikira dengan sawan tangis yang abah dapat pada awal kelahiran abah sehingga 9 bulan lamanya. Kasihan we.... Tidurnya tidak pernah teratur ketika itu. Celik sahaja mata abah dari tidur, abah akan terus menangis dan menangis. Puas berubat. KL ke kampung Senaling. Senaling ke KL. 9 bulan husna.... Lama we dan atuk menanggung 'sengsara'. Macam2 perubatan dah dicuba. Berpuluh bomoh dan doktor. Semuanya tidak berjaya. Sehinggalah suatu hari, atuk dan we membawa abah berkunjung ke rumah acik aris....
'Pakcik bomba' .

Itulah orangnya menurut mak lagi. Dia mahu abah dimandikan sebelum ayam masuk reban, mandikan abah di pintu masuk rumah acik aris jam 3 petang, alhamdulillah.... baru lah kurang sakit 'tangis' abah dan hilang terus...
Itulah anakanda... kesakitan hidup yang abah lalui. Abah berharap anakanda akan bersabar dan kuatkan semangat. Semangat dan kekuatan itu anakanda, datangnya dari dalam diri kita..... bukannya dari orang lain. Semoga anakanda husna akan terus bersemangat untuk belajar...

Tuesday, January 15, 2008

Bermulanya persekolahan tadika Husna...

Salam. Lama sudah abah tak menulis di blog ini duhai anakku. Maafkan abah kerana terlalu sibuk dengan urusan harian walaupun sebenarnya bulan lepas; Disember 2007 merupakan cuti persekolahan. Kebetulan pula, kita semua pulang ke kampung 'kunci ayor' di Perak selama 10 hari. Berehat panjang kita di sana.
Bulan ini, Januari 2008; Afifah Husna anakanda abah memulakan sesi persekolahan tadikanya pada 3 Januari yang lalu. Gembira sungguh ayahanda dan bonda. Tapi bagi anakanda Husna, bila ditanya pada malam hari 2 Jan seolah-olah menunjukkan rasa kurang gembira. Ayahanda berdua faham dan tidak berniat memaksa anakanda menyukainya. Abah yakin Husna mampu atasi perasaan itu lambat laun.
Pada pagi 3 Jan, anakanda Husna dihantar oleh Wea dan bonda bersama adik kesayangan Husna, Amir Zulhilmi ke tadika. Bila umi menelefon abah, dengan sengaja abah tidak memberitahu yang abah akan turut serta ke tadika walaupun abah bertugas hari itu di sesi pagi. Husna kurang ceria pada hari itu. Tapi tak mengapa. Abah berasa bangga kerana anakanda tidak seperti kanak-kanak lain yang menangis risau ditinggalkan keluarga. Syukurlah. Selamat anakanda belajar pada hari itu. Abah menjemput anakanda pada hari itu jam 2.00 ptg. Sepatutnya kelas biasa akan habis pada jam 2.30 ptg. Tetapi kerana orientasi, kelas ditamatkan 1/2 jam lebih awal. Letih anakanda nampaknya. Kurang ceria. Tapi bersabarlah husna. Itu semuanya dugaan. Sekiranya anakanda tahu rintangan yang umi lalui semasa zaman kanak-kanaknya dahulu sudah pasti anakanda akan lebih bersyukur. Cuba tanyakan pada umi nanti bila bersembang bersama, ok.
Baiklah anakanda. Nanti abah tuliskan lagi pengalaman anakanda di ruangan blog ini. Teruskan belajar dengan motivasi sendiri. Semoga anakanda diberkati Allah sepanjang hidup anakanda. Amin.